Friday, July 4, 2008

GAMBAR DARI SET DAPUR BUJANG & RESIPI EPISOD PERTAMA



Episod 1

Nasi Dhall

Bahan-Bahan:

Basmathi
Minyak Sapi
Margerin
Daun Pandan
Kacang Dhall
Minyak Masak
Kayu Manis
Buah Pelaga
Bunga Lawang
Bunga Cengkih
Bawang Merah Besar - dimayang
Bawang Putih - dimayang
Halia - dimayang
Susu cair
Garam secukup rasa

Cara Menyediakannya:

1. Panaskan minyak sapi dan margerin dalam periuk elektrik. Tumiskan bawang besar,
bawang putih, halia, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih dan daun pandan.

2. Masukkan basmathi, kacang dhall, air, susu cair dan garam secukup rasa.


Ayam Masak Ros

Bahan-Bahan:

Ayam Peha di goreng separuh masak
Lada kering
Minyak masak
Bawang Besar
Halia
Bawang Putih
Bunga Lawang, Cengkih, Pelaga dan Kayu Manis
Sos Tomato
Sos Cili
Sirap Ross
Garam dan Gula secukup rasa

Cara Menyediakannya:

1. Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan tumis sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam, sos tomato, sos cili, sirap ross, garam dan gula secukup rasa.
3. Setelah masak, hidangkan bersama kacang hijau.


Air Mentari Jingga

Bahan-Bahan:

Sirap Ross
Kordial Oren
Buah Oren

Cara Menyediakannya:

1. Campurkan sirap ross dengan kordial oren dan kisar bersama sedikit ais.
2. Hiaskan bersama hirisan buah oren.

Sunday, June 22, 2008

ND NAZIE @ NAZIRAH KLFM DALAM DAPUR BUJANG

Ini adalah coretan DJ Nazie dalam blognya - nazirahklfm.blogspot.com/2008/06/shooting-dapur-bujang.html.
Gambarnya juga adalah dari blognya (harap DJ Nazie tidak marah kita gunakan gambarnya di blog Dapur Bujang ini ya?):

Shooting 'Dapur Bujang'

Sebenarnya entry ni saya dah tulis lama dah, tetapi al-maklum lah, sepanjang Mac dan April 2008, saya bertapa di Gunung Gestapo kan, jadi inilah masa dan ketikanya, akhirnya, saya dapat kongsikan pengalaman ini. Saya berpeluang menjadi 'Guest celebrity' untuk program Dapur Bujang musim ke2 pd 27 Mac 2008 & yang mana episod saya dah pun keudara di RTM2 pada awal Mei yang lalu. Hik Hik Hik! Handsome kan chef tu! Chef Iskandar nama dia. Selain saya, Aen juga berpeluang menyertai program ini. Pengalaman baru yang menyeronokkan. Dulu sebelum saya menyertai RTM, saya ingat lagi, saya pernah menjadi AP untuk sebuah produksi yang masa tu menerbitkan rancangan hiburan untuk Astro Ria. Nama rancangan tu Ala2 Kampung, tuan director nya sapa lagi kalau bukan mentor saya 'Mr Nik Ramzi Nik Hasan'. Seronok, masa tu saya di terlibat di belakang tabir, saya yang menguruskan artis dan perjalanan rakaman program tu. Sekarang, terbalik pula, saya yang diuruskan oleh produksi Dapur Bujang! Hahah! Thanks for the tremendous oppurtunity (^0^)

Tengkiu to make up artist - Nishar yang buat i jadi chantek n gebu semacam aje ari tu! Muahahahha! Sape nak make up artist utk kahwin etc, boleh contact i occay!!!!

KEPADA DJ NAZIE - Kami di Dapur Bujang mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi bersama kami di studio Dapur Bujang. Jangan lupa lah promo-promo sikit rancangan ni dalam radio show Nazie yea!

Saturday, June 21, 2008

Lelaki handal memasak lebih seksi

(Artikel in dipetik dari Berita Harian Online)

Oleh Diyanah Anuar

diyanah@bharian.com.my


Kebolehan tidak lagi dianggap lemah, bersifat kewanitaan

PERSEPSI lapuk kononnya wanita tempatnya di dapur sudah tidak terpakai lagi. Ini terbukti jika anda menonton rancangan masakan di kaca televisyen, majoriti program terbabit menampilkan chef lelaki. Penguasaan lelaki dalam bidang masakan tidak lagi dianggap janggal, biarpun pada dasarnya tugas memasak secara tradisionalnya dianggap milik wanita.

Bukan itu saja, kepakaran lelaki dalam bidang masakan yang kian komersial ini turut diperakui kerana kaum Adam dikatakan mendominasi industri masakan.

Besarnya impak dan peranan chef lelaki masa kini hingga bila ditanya chef selebriti popular dan bertaraf antarabangsa, nama seperti Gordon Ramsay, Jamie Oliver, Anthony Bourdain, Curtis Stone tidak terkecuali di peringkat tempatan - Chef Wan, Chef Zam atau Chef Ismail, tentunya disebut.

Ternyata minat memasak kian berkembang di kalangan kaum lelaki. Kebanyakan mereka tidak segan masuk ke dapur dan melakukan ‘kerja halus’ menghiris bawang, menumbuk cili, menumis atau menggoreng seperti yang dilakukan ibu, teman wanita mahupun gadis lain.

Cuma mungkin ada segelintir masyarakat menganggap kurang sifat kelelakian apabila seseorang lelaki melakukan kerja yang lazimnya dibuat wanita, malah ada keluarga tidak menggalak lelaki memasak kerana tidak mahu dianggap dayus.

Namun pada zaman di mana keterbukaan wujud dalam banyak perkara, aktiviti memasak tidak lagi dikaitkan dengan jantina, peranan atau norma sosial. Aktiviti ini seharusnya dinikmati oleh sesiapa saja yang menyukainya.

Disebabkan itulah semakin ramai lelaki tidak segan bercerita mengenai pengalaman memasak, baik sesama rakan lelaki ataupun wanita tanpa ragu-ragu atau rasa malu.

Malah, sebahagian besar daripada mereka cukup berbangga dengan kebolehan yang dimiliki lebih-lebih lagi bila menyedari ada di rakan wanita tidak tahu memasak!

Ramai juga yang menganggap lelaki yang berkebolehan memasak lebih mudah menambat hati serta dihargai wanita. Lelaki yang memasak untuk teman wanita atau isteri juga dilihat seksi dan romantis.

Namun, bagi kebanyakan lelaki, memasak bukanlah suatu tugas rutin kecuali mereka yang mencari rezeki dengan kemahiran berkenaan. Selalunya ia sekadar aktiviti suka-suka ataupun ‘bermusim’.

Ada yang tiba-tiba tertarik memasak selepas menonton program masakan di televisyen, ada juga yang memasak sekali-sekala untuk meraikan sesuatu atau menjamu rakan. Tidak kurang pula yang menganggap aktiviti ini sebagai meditasi atau terapi di mana setiap proses mencari bahan mentah, menghiris, menyukat dan menunggu masakan siap memberi nikmat tersendiri.

Lelaki yang rajin memasak biasanya disukai ramai kerana individu terbabit lazimnya gemar menjamu rakan dan keluarga dengan masakan istimewa. Secara tidak langsung, ia juga mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, teman dan juga insan istimewa.

Sehubungan itu, minat atau kebolehan golongan lelaki dalam bidang masakan tidak wajar dilihat sebagai tanda kelemahan atau dikaitkan dengan sifat kewanitaan, sebaliknya kelebihan itu seharusnya dihargai kerana ia dapat mengurangkan beban tugas wanita yang bergelar ibu atau isteri.

Kisah tiga jejaka menjadi chef

i-Kon bertanya pandangan tiga jejaka mengenai kecenderungan lelaki memasak. Antaranya, chef program masakan Dapur Bujang di RTM2, Chef Iskandar Ishak, 27, yang memiliki pengalaman tujuh tahun sebagai cef profesional.

Iskandar berkata, pendedahan mengenai masakan yang semakin meluas membuka minat golongan lelaki untuk belajar memasak. Ia dapat dilihat melalui pembabitan ramai lelaki dalam bidang masakan khususnya dalam sektor perhotelan.

Menurutnya, kebanyakan lelaki lazimnya belajar memasak apabila hidup sendiri atau menetap di rumah bujang.

“Selain membeli makanan di luar, ada masanya mereka ingin menikmati makanan mengikut cita rasa sendiri. Caranya tentulah dengan memasak.

“Dari situ, selalunya mereka akan mempelajari resipi demi resipi dari semasa ke semasa,” katanya yang menerima pendedahan dalam bidang masakan sejak kecil kerana sering membantu ibu di dapur.

Iskandar berkata, selain pendedahan yang diterima daripada ibu dan ketika menuntut di kolej, beliau juga gemar mencuba masakan di restoran dan menyediakannya di rumah dengan sedikit pengubahsuaian dan cara memasak.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan pendapat segelintir individu yang menganggap lelaki belajar memasak untuk memikat wanita.

“Bukan untuk memikat wanita, tapi memang berminat untuk memasak. Lagipun ia bidang yang boleh memberi pendapatan lumayan serta mampu bertahan dalam apa juga situasi ekonomi. Tambah lagi kalau tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur ini, kalau berniaga makanan memang boleh membawa keuntungan.

“Namun tidak dinafikan bakat memasak yang dimiliki seseorang lelaki menjadi suatu keistimewaan berbanding lelaki lain yang tidak tahu memasak. Ia mungkin secara tidak langsung menarik perhatian wanita yang sukakan lelaki yang handal memasak,” ujar beliau.

Cita-cita asal Iskandar sebenarnya menjadi juruterbang namun disebabkan penglihatannya yang rabun, beliau gagal melepasi ujian pemilihan ke akademi penerbangan.

Kegagalan itu bagaimanapun tidak begitu mengecewakan dirinya lantas beliau beralih ke bidang yang turut diminatinya iaitu masakan. Sempat Chef Iskandar menuntut dalam bidang ini di sebuah kolej tempatan sebelum menyambung pengajiannya lebih lanjut di Amerika Syarikat (AS).

Selepas itu, Iskandar menimba pengalaman bekerja di dapur beberapa hotel di tanah air dan secara sambilan, beliau berlakon teater.

Dari pentas teaterlah bakat lakonannya dikesan penerbit filem yang memberi tawaran berlakon filem kepada Iskandar. Beliau muncul dalam beberapa filem dan juga drama televisyen, antaranya Bicara Hati, Ah Lok Cafe dan SH3. Selepas itu, datang pula tawaran daripada produksi Manja Films untuk menerbitkan program masakan iaitu Dapur Bujang yang disiarkan di RTM2.

Konsep program yang kini sudah masuk musim kedua ini agak berbeza dengan program masakan lain kerana ia menampilkan resipi ringkas dan mudah khusus untuk golongan yang hidup bujang.

“Ketika dipelawa untuk mengacarakan program ini, saya tertarik dengan idea dan konsep yang ditampilkan. Saya percaya, rancangan seperti ini boleh memberi panduan kepada penonton yang minat memasak tapi ingin belajar hidangan mudah terlebih dulu,” katanya.

Bagi Mohd Zackery Zainal, 20, pula, lelaki yang mahir memasak seharusnya dianggap individu berkemahiran kerana mampu ‘survive’ sendiri.

“Selain berguna pada waktu tiada wanita yang boleh memasak, kelebihan ini membolehkan mereka menjana pendapatan lumayan sebagai chef.

“Sekarang, sudah ramai lelaki yang handal memasak bekerja dalam bidang penyediaan makanan. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan ia menjadi suatu ikutan di kalangan lelaki,” katanya.

Mohd Zackery berkata, lelaki yang pandai memasak selalunya akan menjadi suatu tarikan kepada wanita. Beliau juga menyatakan persepsi lapuk yang mendakwa lelaki memasak biasanya bersifat ‘lembut’ tidak boleh diterima pakai lagi kini.

“Cuba lihat rancangan masakan yang sering disiarkan di televisyen, chef lelaki yang tampil dalam rancangan itu kebanyakannya ‘macho’ dan mempunyai tarikan tersendiri,” ujar Mohd Zackery yang biasanya akan memasak bila rakan berkunjung ke rumah.

Reza Macrezal Madihi, 24, yang gemar mencuba resipi Barat khususnya masakan Itali juga berpandangan sama. Beliau berkata, lelaki yang pandai memasak mempunyai nilai tambah jika dibandingkan dengan lelaki yang hanya tahu makan.

“Untung bila seseorang wanita mendapat pasangan yang hebat memasak kerana boleh membantu mereka di dapur.

“Tapi, tidak wajar pula jika seseorang wanita cuba melepaskan tanggungjawab memasak bila memperoleh suami yang rajin ke dapur. Ia sepatutnya dilakukan bersama-sama kerana secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan,” ujar beliau yang selalu mencuba resipi yang diperoleh melalui internet dan sekali-sekala menjamu keluarga dengan hidangan istimewa.

Wednesday, June 11, 2008

DAPUR BUJANG

Manjafilms mengucapkan selamat datang ke blog baru rancangan masakan popular RTM ia itu Dapur Bujang. Sebelum ini, fakta dan maklumat siri ini terdapat di lamanweb www.manjafilm.com.my.
Blog ini disediakan untuk memudahkan 'feedback' atau 'maklumbalas' daripada semua peminat dan penonton rancangan tersebut.
Blog ini akan dihiasi gambar dan resipi-resipi yang terdapat dalam rancangan popular ini. Peminat juga akan dapat berinteraksi dengan Chef Iskandar melalui blog ini.
Apabila Manjafilm diberitahu tentang waktu siaran musim kedua, peminat akan diberitahu tentang kandungan rancangan ini melalui blog ini.
Sekian.
Penerbit
Daput Bujang
Manjafilm